Sekolah Kebangsaan (Felda) Kahang Barat merupakan sebuah institusi pendidikan rendah yang terletak di kawasan Felda Kahang Barat, Kluang, Johor. Sekolah ini berperanan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak-anak komuniti setempat khususnya di kawasan luar bandar.
Dengan suasana pembelajaran yang kondusif dan tenaga pengajar yang berdedikasi, sekolah ini komited dalam melahirkan murid yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah, kokurikulum serta kepimpinan.
Sekolah Kebangsaan Felda Kahang Barat telah ditubuhkan pada 6 Januari 1980. Pada awal penubuhannya, sekolah ini menggunakan tujuh buah rumah peneroka sebagai bangunan sekolah. Enam buah daripadanya digunakan sebagai bilik darjah dan sebuah lagi sebagai bilik guru dan pejabat.
Pada hari pertama persekolahan seramai 189 orang murid darjah satu hingga darjah enam telah mendaftar masuk. Bilangan guru pula enam orang sahaja. Guru Besar pertama pada waktu itu ialah Tn. Hj. Siraj b. Siros.
Pada awal tahun 1982, sebuah bangunan sekolah dua tingkat dan kantin telah siap dibina. Bangunan sekolah tersebut mengandungi enam bilik darjah, pejabat dan bilik Guru Besar. Dengan siapnya bangunan tersebut, sekolah telah berpindah kebangunan sendiri pada 25 Mac 1982.
Sejak mula ditubuhkan sekolah ini telah mengalami pembangunan pesat dengan pertambahan muridnya. Untuk menampung pertambahan bilangan murid maka beberapa buah lagi bangunan telah didirikan. Di antaranya ialah sebuah bangunan Blok B setingkat yang mengandungi enam buah bilik darjah yang siap dibina pada 1 Januari 1985.
Menyusul kemudian sebuah bangunan yang dibina secara bergotong royong siap dibina pada 1 Januari 1987. Kemudian sebuah bangunan Pusat sumber pula siap dibina pada 1 Disember 1989. Seterusnya pada pertengahan tahun 1999 sebuah lagi bangunan tiga tingkat telah dibina di atas tapak bangunan Blok D dan telah diduduki pada awal tahun 2000. Bangunan Blok C iaitu bangunan gotong royong telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan tiga tingkat yang telah siap digunakan pada tahun 2010.
Sekolah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Felda Kahang Barat. Ia mengambil sempena kedudukannya di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Kahang Barat. Sekolah ini terletak kira-kira 22 kilometer dari pusat Bandar Kluang. Sekolah ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Menteri Besar Johor, Dato’ Hj. Abdul Ghani b. Othman pada 19 September 2000.